120 peserta sertai PLKN 3.0 selama 45 hari

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Seramai 120 orang pelatih sukarela telah menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 siri pertama 2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur pada Ahad.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan berkata, pelatih terbabit terdiri daripada 80 pelatih lelaki dan 40 pelatih wanita berumur di antara 18 hingga 25 tahun.

“Sepanjang 45 hari yang bermula hari ini, pelatih akan diberikan pendedahan terhadap latihan fizikal, mental dan sivik.

“Modul-modul latihan mengintegrasikan 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan dan 30 peratus Komponen Kenegaraan,” kata MINDEF dalam hantaran di Facebook rasmi.

Tambah MINDEF, PLKN 3.0 Tahun 2025 akan dimulakan dengan tiga siri di dua kem yang berbeza.

Bagi Siri 2/2025 akan dilaksanakan pada 11 Mei hingga 24 Jun 2025.

“Manakala, PLKN 3.0 Siri 3/2025 akan dilaksanakan pada 7 September hingga 21 Oktober 2025 iaitu di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah,” kata MINDEF dalam hantaran di Facebook.

PLKN mula diperkenalkan pada Disember 2003 sebagai program menyediakan modul latihan selama tiga bulan meliputi fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti dengan 85,000 hingga 95,000 pelatih setahun melibatkan purata perbelanjaan RM600 juta setahun.

Program itu kemudian dihentikan selama setahun pada 2015 ekoran langkah rasionalisasi perbelanjaan namun diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 orang setahun sebelum dimansuhkan pada Ogos 2018.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat