PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyangkal cadangan Peguam Kanan, Haniff Khatri yang ingin merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Majlis Raja-Raja.
Beliau berkata cadangan yang melibatkan Majlis Raja-Raja adalah tindakan berbahaya yang boleh membawa kepada wujudnya krisis perlembagaan di negara ini.
“Saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang mewakili PKR/PH (Pakatan Harapan) dan juga seorang anggota backbencher kerajaan persekutuan dengan hormatnya mempertikaikan cadangan Peguam senior Mohamed Haniff Khatri yang saya hormati seperti yang dilaporkan dalam portal Malaysiakini 11 Januari 2025 jam 10.53 malam.
“Di dalam laporan tersebut Haniff Khatri dikatakan memohon Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan keingkaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Peguam Negara sebelum ini, mengakui kewujudan titah adendum berkaitan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
“Haniff Khatri mempersoalkan mengapa sebelum ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdiam diri dan tidak mengakui kewujudan titah berkenaan.
“Saya ingin menarik perhatian Haniff Khatri sebagai seorang peguam senior bahawa Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan kuasa Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 38(1), (2), (3), (4), (5) dan (6). Tidak ada kuasa Majlis Raja-Raja untuk membincangkan apa yang dipanggil oleh Haniff Khatri tentang keingkaran Perdana Menteri mengakui kewujudan titah adendum sebelum ini.
“Tempat yang sesuai untuk Perdana Menteri dirujuk untuk dibincang malah dibahaskan ialah di Parlimen bukannya di Persidangan Majlis Raja-Raja,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.
Beliau juga menegaskan bahawa Peguam Kanan itu perlu menyedari Perkara 145(4) Perlembagaan Persekutuan tentang tugas Peguam Negara di mana Fasal (4) tersebut menyatakan bahawa pada melaksanakan tugasnya Peguam Negara berhak untuk didengar di dalam mana-mana Mahkamah atau tribunal di Persekutuan dan hendaklah diberi keutamaan daripada mana-mana orang lain Yang hadir di hadapan mahkamah atau tribunal itu.
“Dalam hal ini Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang diPertuan Agong adalah bersifat tribunal.
“Selanjutnya perlu difahami perjalanan prosiding Lembaga Pengampunan seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 42(8) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Yang diPertuan Agong dan Yang diPertuan Agong hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.
“Di dalam pendengaran substiantif Semakan Kehakiman Najib Razak tentang titah adendum itu nanti, saya percaya pihak Peguam Negara atau Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Peguam Negara dan lain-lain defendan atau responden pasti akan menjelaskan adakah titah adendum itu telah dibentangkan atau tidak dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“Jika jawapan kepada persoalan itu ialah positif iaitu ya, maka persoalan selanjutnya adakah Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat itu mematuhi Fasal (9) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seperti berikut: “Sebelum memberikan nasihatnya mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbang apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu,” katanya lagi.
Hassan turut menjelaskan persoalan kedua ini dapat diketahui apabila permohonan Semakan Kehakiman Datuk Seri Najib Razak didengar tidak lama lagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Maka dengan rendah hati dan hormat kepada sahabat saya peguam senior Haniff Khatri supaya bersabar dulu.
“Jangan cepat hendak menyalahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ataupun Peguam Negara.
“Dan yang lebih penting dari itu saya nasihatkan janganlah mengheret negara kita ke kancah Krisis Perlembagaan berkaitan isu titah adendum tersebut. Biarlah Mahkamah merungkai segala kekusutan,” katanya.
Baca juga: