Oleh: Hanim Nadia
IPOH: Seorang juruteknik lelaki berumur 42 tahun rugi RM444,967 kerana terperdaya dengan tawaran pekerjaan sambilan secara dalam talian yang tidak wujud pada November lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, laporan polis oleh mangsa diterima pada Jumaat lalu dan siasatan sedang dijalankan.
Siasatan awal mendapati, lelaki itu tertarik dengan iklan pekerjaan ketika melayari laman Facebook.
“Mangsa kemudian berurusan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan seterusnya diberikan tugasan kepada mangsa untuk membuat bayaran kepada barangan yang diberikan kepadanya terlebih dahulu.
“Nilai barangan tersebut bermula dengan jumlah kecil hingga puluhan ribu ringgit dan mangsa dijanjikan akan menerima semula wang beserta komisen antara 4 hingga 10 peratus daripada nilai bayaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Zulkafli, mangsa telah membuat beberapa pindahan wang ke 10 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM444,967.
“Mangsa menyedari telah ditipu apabila sehingga kini dia belum menerima komisen seperti yang dijanjikan sejak dua bulan lalu,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada dengan taktik sindiket penipuan yang semakin kompleks.
Baca juga: