Oleh: Hanim Nadia
KOTA TINGGI: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengarahkan tiga projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Johor dan Sungai Pemandi yang kini sedang dilaksanakan dipercepatkan.
Katanya, ini bagi mengurangkan impak bencana banjir yang sering melanda Johor.
“Saya diberi taklimat mengenai tiga Projek Tebatan Banjir di Sungai Johor dan Sungai Pemandi yang kini berada dalam fasa pelaksanaan di daerah Kota Tinggi.
“Saya telah mengarahkan pihak berkenaan agar mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan ini bagi mengurangkan impak banjir yang sering melanda negeri Johor.
“Isu ini harus ditangani dengan segera dan lebih serius agar kejadian banjir yang sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Berkongsi di Facebooknya, beliau juga berkesempatan menyantuni mangsa banjir di empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC ) New Kota, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Usman Awang, PPS SK Laksamana dan PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi.
Beliau turut menyampaikan sumbangan bencana kepada 180 keluarga yang ditempatkan di empat PPS berkenaan.
Dalam pada itu, Onn Hafiz juga mengingatkan rakyat Johor agar terus waspada dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa, susulan MetMalaysia memaklumkan gelombang kedua hujan berterusan diramal berlaku pada 15 Januari hingga 18 Januari ini.
Baca juga: