BAP perlu diserah sepenuhnya kepada murid, tanpa potongan – Fadhlina

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengingatkan pihak sekolah untuk menyerahkan sepenuhnya Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada ibu bapa atau penjaga tanpa sebarang potongan untuk yuran mahupun kegunaan lain.

Beliau menegaskan, bantuan itu adalah hak murid dan perlu digunakan sepenuhnya untuk persiapan persekolahan.

“Saya juga ambil kesempatan ini untuk berpesan barangkali bahawa amanah duit ini adalah amanah yang besar.

“Maknanya, mesti digunakan sepenuhnya untuk keperluan anak-anak kita. Begitu juga dengan sekolah, tidak boleh ada potongan selain daripada memastikan ia dibayar sepenuhnya RM150 dan pastikan ia betul-betul sampai ke tangan sepatutnya iaitu penjaga anak-anak ini,” katanya memetik berita tempatan pada Isnin.

Tambah beliau, semua pihak perlu memastikan pengagihan BAP dilaksanakan secara telus dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat pelanggaran atau penyalahgunaan dana tersebut.

Kerajaan memperuntukkan RM791.25 juta untuk pemberian BAP secara sekali bayar dengan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid seluruh negara.

Penyerahan BAP bermula hari ini untuk murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025.

Bagi murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026, agihan akan bermula pada 16 Februari depan, manakala murid Tingkatan 6 baharu akan menerima BAP bermula 1 Julai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat