Kerjasama anggota ASEAN jamin bekalan, tenaga serantau

Oleh: Kamilia Ali

PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menetapkan dua Priority Economic Deliverables (PED) berkaitan tenaga.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keutamaan tersebut iaitu Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2025, Fasa 1: 2026 hingga 2030 dan Rangkaian Kuasa ASEAN (APG) Memorandum Persefahaman (MOU).

“Dua dokumen dasar ini adalah penting untuk memastikan kerjasama berterusan dalam kalangan negara anggota ASEAN seterusnya menjamin bekalan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalamMajlis Peluncuran Penganjuran Mesyuarat-Mesyuarat Tenaga ASEAN 2025 dekat sini, pada Isnin.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif APG akan diberi fokus dalam semua mesyuarat berkaitan dengan objektif untuk memuktamadkan dokumen APG MOU pada tahun 2025.

“Kandungan MOU ini antara lain memberi penekanan meningkatkan keupayaan infrastruktur talian penghantaran tenaga elektrik dalam kalangan negara ASEAN supaya lebih banyak tenaga elektrik, terutamanya tenaga berasaskan sumber bersih seperti hidro, solar dan angin diperdagangkan merentasi sempadan.

“Usaha ini secara langsung dapat mengoptimakan penggunaan sumber tenaga bersih, menjamin bekalan tenaga kepada rakyat dan memanfaatkan negara-negara di rantau ASEAN,” jelasnya.

Sementara itu, Malaysia secara rasminya telah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025 dengan ‘Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity’.

PETRA akan mempengerusikan tiga mesyuarat utama Sektor Tenaga iaitu Mesyuarat Khas Pegawai Kanan Tenaga ASEAN di Langkawi, Kedah pada 22 hingga 24 Januari, Mesyuarat Khas Pegawai Kanan Tenaga di Kuching, Sarawak (16-20 Jun) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN di Kuala Lumpur (22-26 September) tahun ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat