ABU DHABI: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Emiriah Arab Bersatu(UAE) berjaya mencipta peluang pelaburan yang lebih besar untuk Malaysia.
Melalui laman Facebooknya, Anwar menjelaskan dalam pertemuan bersama syarikat-syarikat gergasi negara itu melonjakkan kerjasama perdagangan dan pelaburan yang terjalin selama ini.
Jelasnya lagi, sewaktu pertemuan dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) diketuai Pengarah Urusan, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, kami senada untuk terus meningkatkan kerjasama pelaburan dan kecemerlangan yang dicapai semasa lawatan saya terdahulu.
“Sinergi padu antara Malaysia dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) menjelmakan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing.
“ADIA hadir dengan membawa bersama-sama suara rakan syarikat pelaburan global yang lain dalam menerokai pelbagai peluang pelaburan yang terhidang di Malaysia,” katanya.
Tambah Anwar, adalah tidak mustahil, pelaburan jangka panjang dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga.
“ADIA yang sekian lama melabur di Malaysia memberi komitmen terus mempertingkat dan memberi tumpuan utama dalam mencipta nilai yang lebih besar untuk memastikan kejayaan pelaburan-pelaburan di Malaysia di pelbagai sektor termasuk dalam transformasi MAHB(Malaysia Airport Holdings Berhad),” katanya.
Untuk rekod, ADIA adalah salah satu dana kekayaan terbesar di dunia dengan aset melebihi US$1 trilion.
ADIA telah menunjukkan minat yang mendalam untuk memperluas peluang pelaburan di Malaysia.
Mereka terlibat dalam pelbagai sektor seperti infrastruktur, kesihatan dan tenaga.