Kerajaan salur SARA mulai esok, bantu 700,000 keluarga miskin

PETALING JAYA: Kerajaan akan mula menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 15 Januari 2025 menerusi MyKad kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, kadar bantuan SARA telah ditingkatkan di mana isi rumah miskin dan miskin tegar dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025 berbanding RM1,200 pada tahun sebelum ini.

MOF dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac tahun ini.

“Mulai April, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SARA merupakan pendekatan bantuan bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

“Penyaluran SARA melalui MyKad memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barang asas termasuk makanan asas,” katanya.

Selain itu, MOF berkata, 5.4 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025.

Katanya, bantuan tambahan SARA itu terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih.

“Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan, manakala golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan,” menurut kenyataan itu.

Di bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di lebih 1,200 kedai runcit berdaftar di seluruh negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat