Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain menerima penghargaan ‘Truth in Action Award’ yang merupakan anugerah berprestij di peringkat antarabangsa.
Anugerah itu adalah daripada World Association of Detectives (W.A.D) disampaikan menerusi satu majlis yang berlangsung di pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman.
Anugerah itu disampaikan oleh mantan Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif W.A.D, Siti Subaidah Mustaffa sebagai pengiktirafan pencapaian atas pencapaian cemerlang Razarudin dalam memperkukuh prinsip asas integriti, tadbir urus, profesionalisme sekali gus mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.
“Sumbangan yang dibuat oleh Tan Sri Razarudin secara signifikan telah berjaya meningkatkan kredibiliti pasukan, memastikan ia kekal sebagai tonggak keadilan dan terus memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan PDRM pada Rabu.
Anugerah itu diperkenalkan pada tahun 1967 sebagai pengiktirafan kepada individu yang menunjukkan sumbangan luar biasa dalam bidang keadilan jenayah, penyiasatan, keselamatan serta kepakaran teknikal dan saintifik.
Malaysia sebelum ini telah menjadi tuan rumah persidangan Tahunan ke-99 W.A.D. pada Oktober 2024.
Dalam persidangan tersebut, Razarudin dipilih secara sebulat suara untuk menerima anugerah berprestij tersebut.
Baca juga: