Speaker Dewan Rakyat mula jelajah rasmi ke negara ASEAN hari ini

PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan memulakan jelajah rasmi ke negara-negara anggota ASEAN bermula hari ini.

Ia bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara institusi legislatif serantau serta sebagai persediaan untuk menganjurkan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 di ibu negara pada September depan.

Menurut kenyataan Parlimen Malaysia, semalam, jelajah itu bermula dengan lawatan ke Thailand yang bertujuan untuk mendapatkan input daripada Speaker-Speaker Parlimen ASEAN bagi memastikan Malaysia menjadi tuan rumah AIPA yang terbaik selain membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama.

“Semasa di Thailand, Johari yang juga Presiden AIPA ke-46, dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Perhimpunan Kebangsaan dan Speaker Dewan Perwakilan Thailand, Wan Muhamad Noor Matha serta Presiden Senat Thailand, Mongkol Surajja.

“Johari kemudian akan meneruskan jelajah ke Kemboja pada 16 dan 17 Januari dengan beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat terhadap beberapa pemimpin utama negara itu termasuk rakan sejawatnya, Presiden Dewan Kebangsaan Kemboja, Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary dan Presiden Senat Kemboja, Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, perbincangan dalam pertemuan itu akan menumpukan kepada pengukuhan hubungan dua hala khususnya dalam kerjasama antara Parlimen, ekonomi dan sosial antara Malaysia dan Kemboja.

Parlimen Malaysia memaklumkan jelajah rasmi ASEAN itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memantapkan hubungan dengan negara anggota pertubuhan berkenaan selaras dengan matlamat menjadikan rantau ini lebih bersatu, berdaya tahan, terangkum dan berdaya saing di peringkat global.

Anda Mungkin Berminat