Anwar ketemu Keir Starmer, fokus perkukuh hubungan Malaysia-UK

LONDON: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja di sini, United Kingdom (UK) dengan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat, Keir Starmer.

Beliau menyatakan penghargaan atas jemputannya dalam usaha memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara yang mencakupi pelbagai bidang.

“Kami senada dan sepakat untuk meningkatkan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, ekonomi, pertahanan, tenaga dan kecerdasan buatan (AI).

“Turut membincangkan penyelesaian isu Gaza,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Anwar, hal-hal yang dibincangkan itu akan dibawa ke peringkat menteri masing-masing bagi tujuan pelaksanaan yang lebih teratur dan tersusun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri United Kingdom Keir Starmer di 10 Downing Street di London, United Kingdom pada 15 Januari 2025. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

Memandangkan ini adalah lawatan ke negara Eropah pertama selaku Pengerusi ASEAN, Anwar menggunakan kesempatan itu untuk menyatakan kesediaan Malaysia menerima lebih ramai pelabur sekali gus membentuk sinergi ekonomi baharu.

Tahun 2024 menyaksikan peningkatan yang signifikan dalam pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom terutamanya dengan adanya Perjanjian Perdagangan Bebas Komprehensif dan Progresif untuk Rantau Pasifik (CPTPP).

Di mana, nilai perdagangan antara kedua negara mencapai sekitar RM14 bilion (USD 3 bilion) dalam sepuluh bulan pertama tahun 2024.

Anda Mungkin Berminat