Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Pelaksanaan gencatan senjata antara kumpulan pejuang Hamas dan negara haram Israel yang berkuatkuasa pada 19 Januari ini dijangka menjadi suatu perkara mencabar.
Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia untuk Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, fasa awal gencatan senjata berlangsung selama enam minggu atau 42 hari dengan mengambil kira beberapa proses termasuk pengunduran rejim Zionis Israel dari Semenanjung Gaza.
Menurutnya, tempoh tersebut juga memerlukan proses pembebasan tebusan Israel oleh Hamas sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin yang ditahan rejim Zionis serta bantuan kemanusiaan berskala besar.
“Manakala butiran fasa kedua dan fasa ketiga akan dimuktamadkan selepas pelaksanaan fasa pertama,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula 19 Januari ini untuk menghentikan perang selama 15 bulan yang dahsyat di Gaza.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani berkata, perjanjian itu akan membawa kepada pembebasan tawanan Israel dan lonjakan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurutnya, fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari dan membabitkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.
Sheikh Mohammed turut memaklumkan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) akan berusaha memastikan pelaksanaan perjanjian itu’ dengan mekanisme bagi memantau pelaksanaannya serta menangani sebarang kemungkinan pelanggaran.
Sementara itu, Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin berkata, meskipun gencatan senjata pada peringkat awal itu mendapat sambutan baik daripada ramai pihak, Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) wajar mengambil langkah lebih agresif untuk memastikan tindakan mereka dilaksanakan sepenuhnya.
Ahli Parlimen Ledang itu berkata, ini terutamanya dalam membuka saluran bantuan kemanusiaan berasaskan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Pada masa sama, Syed Ibrahim menggesa kerajaan Malaysia untuk memainkan peranan aktif dalam perkara tersebut dengan mendesak dan bekerjasama dengan PBB.
“Ini selari dengan sambutan baik Malaysia kepada Jepun tempoh hari untuk pembangunan Gaza dan Palestin dengan harapan bahawa rundingan dan perjanjian ini berjalan lancar. Kerajaan Malaysia juga dimohon untuk menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas ke arah pembangunan semula Palestin dan Gaza dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan serta pakar-pakar sektor penting seperti
pembinaan, pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
“Di samping itu, tindakan kejam rejim zionis Israel wajib dipertanggungjawabkan. Selain ICJ dan ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa), saya menggesa kerajaan Malaysia menyegerakan inisiatif untuk menyingkirkan negara pengganas Israel daripada PBB,” tegasnya.
Peperangan Israel di Gaza membunuh sekurang-kurangnya 46,707 rakyat Palestin dan mencederakan 110,265 sejak 7 Oktober 2023.
Sekurang-kurangnya 1,139 orang terbunuh di Israel ketika serangan pimpinan Hamas dalam kejadian itu dan lebih 200 orang ditawan.
Baca juga: