Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digalakkan untuk melaksanakan inisiatif ‘vertical farming’ atau pertanian vertikal di kediaman masing-masing, bagi memperkasa konsep keterjaminan makanan di peringkat komuniti.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu meyakini bahawa inisiatif itu mampu memberi inspirasi kepada masyarakat umum, sekiranya warga kementerian itu mampu mengadaptasikannya.
“Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan penggunaan ruang yang terhad bagi aktiviti pertanian di rumah, tetapi sebagai usaha simbolik kementerian iaitu ‘walk the talk’, ertinya kita cakap kita buat.
“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, inisiatif ini mampu memberi impak besar sekali gus menjadikan kementerian sebagai model contoh kepada rakyat.
“Terima kasih kepada Ketua Setiausaha kerana memberi idea ini. Walaupun berada di MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dalam tempoh lama tetapi dalam sektor pertanian beliau memberi mengeluarkan idea yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 KPKM di Putrajaya pada Khamis.
Untuk info, pertanian vertikal adalah satu teknologi bagi perkebunan di ruang terhad, terutamanya bagi warga kota yang tinggal di apartmen, kondominium, rumah teres dan rumah berkembar.
Baca juga: