WBB kurangkan keletihan, tingkat kualiti kakitangan KKM

PETALING JAYA: Waktu Bekerja Berlainan (WBB) antara fokus utama yang dibincangkan dalam pemukiman yang dianjurkan Kementerian Kesihatan (KKM) mulai Jumaat hingga Ahad ini.

Menurut KKM, WBB adalah cadangan perubahan aturan jadual kerja (work scheduling) yang dibina oleh petugas kementerian itu berdasarkan libat urus yang dibuat sejak 22 Januari 2024.

Katanya, WBB merupakan sistem ketiga yang berjalan selari dengan sistem atas panggilan (on-call) sedia ada dan sistem syif bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan.

“WBB bertujuan untuk mengurangkan keletihan, meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan pegawai perubatan, serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan (better service delivery) kepada orang ramai,” menurut KKM dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam kenyataan sama, KKM berkata, pelaksanaan WBB juga adalah untuk mengurangkan tempoh bekerja atas panggilan aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan.

Selain itu, katanya, WBB bertujuan memastikan mana-mana pegawai perubatan tidak bertugas melebihi 24 jam secara berterusan, serta mengurangkan jumlah waktu bertugas yang kini mencecah 99 jam seminggu (3 kali atas panggilan seminggu) kepada maksimum 72 jam seminggu.

“KKM komited untuk menambah baik persekitaran kerja yang menyokong kebajikan dan kesejahteraan yang lebih baik untuk warganya.

“Seterusnya, KKM akan terus memastikan perkhidmatan terbaik dapat disampaikan demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan semua,” kata kenyataan itu lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat