MOT larang kenderaan barangan di jalan raya sempena TBC 2025

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan larangan kenderaan barangan berada di atas jalan raya selama empat hari sempena sambutan Tahun Baru Cina (TBC) 2025.

MOT menerusi satu kenyataan berkata, larangan itu akan dikuatkuasakan pada 27 dan 28 Januari (sebelum perayaan) serta pada 1 dan 2 Februari (selepas perayaan).

“Tujuan utama larangan ini adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian yang akan bergerak pulang ke kampung halaman,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MOT berkata, Perintah Penurunan Had Laju Kebangsaan juga akan dikuatkuasakan bersama-sama larangan itu sepanjang pelaksanaan Op Selamat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambah kenyataan itu lagi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara menerusi pelaksanaan Op Tahun Baru Cina (TBC) 2025 dan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain.

“MOT turut menasihatkan semua pemandu supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan semasa memandu,” katanya.

Anda Mungkin Berminat