PETALING JAYA: Pemeriksaan pihak polis terhadap telefon bimbit orang awam tidak boleh dilakukan secara rawak tanpa sebarang laporan polis atau kertas siasatan, tegas Lim Lip Eng.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, hanya pegawai polis berpangkat inspektor atau lebih tinggi yang berhak menjalankan pemeriksaan tersebut sekiranya individu terlibat dalam siasatan jenayah.
Katanya, langkah itu penting agar orang awam sedia maklum bahawa anggota polis berpangkat rendah tidak mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit.
Lip Eng menekankan bahawa syarat itu perlu diumumkan kepada masyarakat melalui saluran rasmi kerajaan, media swasta, media sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan notis di balai polis.
“Saya menyeru kerajaan dan PDRM menegaskan syarat-syarat ini untuk mengelakkan salah guna kuasa dan menjaga integriti pasukan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata, pemeriksaan hanya boleh dilakukan jika terdapat syak wasangka atau maklumat bahawa individu terlibat dalam kesalahan jenayah.
Namun, katanya, kuasa memeriksa itu diberikan kepada pegawai polis tidak rendah daripada pangkat inspektor.