Akmal tawar peguam percuma buat mangsa OKU kena pukul


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengecam tindakan tiga individu yang disyaki memukul seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dengan teruk di sebuah Pasar Tani Chukai, Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah mengambil tindakan untuk diberikan khidmat peguam secara percuma kepada mangsa tersebut.

“Exco Pergerakan Pemuda dan Peguam Pemuda membantu lelaki tersebut dan mencari maklumat lanjut mengenai kes itu di Terengganu dalam masa terdekat.

“Hal ini kerana, kita mahu pastikan mereka yang buat perkara tak ada hati perut ini dikenakan tindakan undang-undang setimpal mungkin. Pemuda UMNO, kita sudah beri komitmen,” ujar beliau.

Pada Jumaat, tular satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki OKU dipukul beberapa individu dengan mangsa diseret di atas jalan serta ditendang di bahagian badan dan kepala mengakibatkan kecederaan pada muka.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal secara tidak sengaja melanggar sebuah gerai jualan di tapak pasar tani berkenaan.

Insiden itu menyebabkan barangan jualan seorang peniaga bertaburan sebelum mangsa didakwa dipukul oleh beberapa individu hingga mengalami kecederaan.

Mangsa yang turut mengalami masalah mental dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Terkini, polis sudah pun menahan tiga lelaki yang terlibat dengan kejadian tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat