Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Insiden sekumpulan individu memukul Orang Kurang Upaya (OKU) mental Pasar Tani Padang Astaka Chukai, pada Jumaat lalu menimbulkan persoalan adakah masyarakat semakin hilang belas kasihan.
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar berkata, OKU atau tidak, ini tidak boleh dijadikan alasan oleh siapapun untuk bersikap kasar, kejam dan tidak berperikemanusiaan sama ada kepada manusia lain ataupun haiwan.
“Sikap santun, rasional, tolak ansur dan perundingan boleh menjadi jalan lain dibandingkan dengan kekerasan,
“Masyarakat perlu kembali kepada fitrah kehidupan yang mendambakan keamanan, kasih sayang dan hal-hal yang baik.
“Tanggungjawab ini sebenarnya tergalas di bahu kita semua, terutama yang dewasa untuk menunjukkan contoh teladan yang baik apatah lagi setiap daripada kita membentuk komponen masyarakat serta rakyat di negara ini,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Syaheera juga hairan dengan sikap tidak endah masyarakat lain yang hanya menonton dan merakam kejadian itu.
“Keadaan menyedihkan ini menimbulkan rasa bimbang saya terhadap sikap masyarakat hari ini dan bagaimana pula sikap generasi ke hadapan apabila perkara ini semakin menjadi norma dalam Masyarakat?” soal beliau.
Justeru, Syaheera menyokong seruan Presiden Persatuan OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi agar tindakan keras perlu diambil terhadap mereka yang terlibat dengan kes pukul itu.
Terdahulu, media melaporkan, polis menahan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul seorang lelaki mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Jumaat lalu, mangsa seorang OKU mental berusia 47 tahun dipukul beberapa individu.
Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan akibat dipukul dan disepak oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar tani berkenaan.
Mangsa dikatakan dipukul selepas motosikal ditunggangnya terlanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah.
Baca juga: