Hampir 9 Juta Rakyat Akan Terima STR Fasa 1 Esok

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan disalurkan secara berperingkat mulai esok (Rabu) kepada hampir sembilan juta penerima berdaftar.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan STR tahun ini meningkat kepada RM2.3 bilion berbanding RM2.1 bilion pada tahun lalu.

“Peningkatan ini mencerminkan tekad kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat agar bertambah baik meskipun berlakunya peningkatan kos sara hidup.

“Besarlah harapan Kerajaan Madani agar peningkatan sumbangan SARA dan STR saban tahun dapat membantu rakyat menggapai kehidupan lebih berdarjat,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, program STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang bermula minggu lalu akan memanfaatkan hampir sembilan juta pengguna atau 60 peratus daripada penduduk dewasa.

“Kerajaan telah menaikkan kadar maksimum untuk isi rumah sebanyak 25 peratus kepada RM4,600 berbanding RM3,700 tahun lalu.

“Manakala kadar minimum bagi golongan bujang turut dilonjakkan kepada RM600 daripada RM500 tahun lalu, kenaikan sebanyak 20 peratus ,” katanya.

Permohonan baharu dan kemas kini bagi STR akan dibuka sepanjang tahun di portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Anda Mungkin Berminat