Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi tumpuan utama dalam kerjasama dua hala antara Malaysia dan Belgium.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo di Brussels untuk membincangkan pelbagai usaha bersama termasuk memperluas TVET.
Pada 23 Oktober tahun lalu, Anwar ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo 2024, beliau menekankan komitmen kerajaan dalam memastikan tenaga kerja Malaysia mampu mengendalikan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
Sambil menyatakan kemajuan teknologi sahaja adalah tidak memadai dan mengakui kekurangan tenaga kerja mahir, beliau berkata, kerajaan komited untuk menangani isu berkenaan melalui program Latihan yang mantap dan inisiatif peningkatan kemahiran.
Pada 14 Disember 2024, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan bahawa TVET bukan sahaja membuka peluang kerjaya tetapi juga menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.
“TVET juga berperanan besar dalam merealisasikan hasrat negara menuju status negara berpendapatan tinggi,” katanya.
Untuk rekod, peruntukan TVET dinaikkan kepada RM7.5 bilion selari dengan Dasar TVET Negara, ia meningkat berbanding RM6.8 bilion pada tahun 2023 untuk memastikan penyelarasan pelaksanaan secara holistik bermula tahun 2024 sehingga 2030.