Malaysia-Belgium terus pertahan kedaulatan Palestin

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Malaysia dan Belgium terus menunjukkan komitmen dalam mempertahankan dan menyuarakan isu Palestin dalam pertemuan dua hala baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja ke Belgium pada 19 Januari lalu, turut menyuarakan isu Palestin ketika bertemu Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo.

Menurut Anwar, Malaysia, Belgium dan Kesatuan Eropah (EU) menyambut baik gencatan senjata di Gaza dan berharap Israel akan mengekalkan keamanan.

Ujarnya, semua pihak berasa lega dengan kesediaan Israel dan Hamas untuk mencari pendamaian.

“Maknanya (gencatan senjata) dapat menghentikan serangan ganas, zalim Israel ke atas Gaza. Bagi kita, itu kesan dia,” katanya pada sidang media pada akhir lawatan dua hari beliau ke negara itu.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru Kesatuan Eropah (EU) untuk mengiktiraf Palestin.

Pada Januari tahun lalu, Belgium menyokong sepenuhnya kes yang difailkan oleh Afrika Selatan yang menuduh Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Menteri Kerjasama Pembangunan Belgium, Caroline Gennez melalui satu ciapan di akaun X, beliau menekankan bahawa jika Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memanggil Israel untuk menghentikan operasinya terhadap Gaza, Belgium akan memberikan sokongan penuh.

Gennez juga berjanji untuk memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan segera di semua peringkat.

Anda Mungkin Berminat