Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Ketegasan dan konsistensi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tekanan moral kepada masyarakat antarabangsa untuk tidak mengetepikan isu Palestin.
Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UniSEL), Profesor Madya Dr Hamdan Salleh berkata, ia juga mencerminkan komitmen Malaysia yang konsisten terhadap keadilan sejagat dan hak asasi manusia.
“Konsistensi beliau berbanding beberapa pemimpin negara lain mencerminkan integriti dan tanggungjawab seorang pemimpin yang tidak hanya tunduk kepada tekanan geopolitik tetapi berani menyuarakan kebenaran.
“Langkah Anwar untuk terus menjadikan isu Palestin agenda penting dalam lawatan rasmi ke Belgium, yang mana platform seperti Kesatuan Eropah memberikan pengaruh besar terhadap dasar global adalah amat wajar,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Dalam pada itu, Prof Hamdan juga berharap sebagai Pengerusi ASEAN 2025 ini, Malaysia akan menggunakan platform tersebut untuk menyuarakan isu Palestin dengan lebih lantang.
Katanya, sokongan tersebut adalah penting untuk memberi harapan kepada mereka yang tertindas dan mendorong komuniti antarabangsa untuk bertindak dengan lebih tegas.
Selepas kehilangan lebih 46,700 nyawa rakyat Palestin dan lebih dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal, kini rakyat Gaza mendapat sinar baharu selepas gencatan senjata berkuatkuasa pada Ahad.
Bagi Anwar, gencatan senjata ini adalah landasan terbaik untuk membina semula negara Palestin yang merdeka.
Baca juga: