Oleh: Kamilia Ali
DAVOS: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem penjagaan kesihatan bukan sahaja meningkatkan kecekapan tetapi juga berpotensi mengurangkan kos pembaziran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, dua keutamaan utama sejak menerajui kerajaan ialah pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Melalui AI, ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan menampilkan teknologi canggih tetapi pada masa yang sama, ia mengurangkan pembaziran dari segi kos,” katanya pada sesi ‘Country Strategy Dialogue’ di luar Forum Ekonomi Dunia (WEF) Sidang Kemuncak Tahunan 2025 di Davos, Switzerland.
Pada majlis yang sama, Menteri Digital, Gobind Singh Deo turut hadir dan menekankan perlunya infrastruktur yang mampan untuk membolehkan AI berfungsi dengan baik dalam sistem penjagaan kesihatan.
Jelasnya, data yang banyak masih berada dalam bentuk analog dan perlu dijadikan digital secepat mungkin.
“Apabila anda mempunyai kemudahan AI, ia membolehkan kita mencari penyelesaian kepada masalah masa lepas dan itu adalah langkah pertama.
“Akhirnya, ia adalah mengenai pembinaan ekosistem,” ujarnya.
Anwar kini dalam lawatan kerja tiga hari untuk menghadiri WEF 2025 yang pertama dihadirinya sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2022.
Baca juga: