Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengecam tindakan Ketua Polis Dang Wangi yang cuba menyekat pengikut daripada menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah.
Dalam satu kenyataan, menurutnya, himpunan yang dianjurkan oleh Sekretariat Rakyat Benci Rasuah itu adalah hak berhimpun dan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan.
“Tidak waras bagi pihak berkuasa yang cuba untuk menghalang himpunan aman ini dijalankan.
“Taktik menggunakan peruntukan-peruntukan kecil seperti itu tidak cukup pemakluman adalah taktik lapuk yang digunakan untuk dekam suara rakyat daripada terus dilaungkan.
“Apatah lagi isu rasuah ini adalah isu besar yang masih membara dalam negara,” kata kenyataan itu, hari ini.
BERSIH dan SUARAM mendakwa bahawa ketua polis tersebut seakan-akan menjadi dalang kepada pihak tertentu yang cuba menghalang himpunan aman itu.
Semalam, polis menyifatkan perhimpunan itu melanggar Akta Perhimpunan Aman (PAA) dengan alasan penganjur tidak mendapat kebenaran pemilik premis.
Sebelum ini, Sekretariat Rakyat Benci Rasuah melahirkan rasa terkejut terhadap arahan polis untuk mendapatkan persetujuan daripada pemilik premis yang bakal menjadi tempat mereka mengadakan himpunan tersebut.
Menurut mereka, syarat tambahan yang dikenakan pihak berkuasa adalah tidak mempunyai asas undang-undang kerana protes tersebut sepatutnya dijalankan di kawasan awam.
Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah adalah susulan perhimpunan Ambang Tahun Baharu pimpinan pelajar di Sabah yang membantah ahli politik negeri terbabit didakwa terlibat dalam skandal rasuah.