Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor telah mencadangkan tiga tapak tanah bagi membolehkan penternak-penternak yang diarah berpindah dari ladang SD Guthrie, meneruskan penternakan.
Exco Kemajuan Desa Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, ini adalah usaha Kerajaan Negeri bagi mewujudkan situasi menang-menang dalam mencari penyelesaian bagi isu berkenaan.
“Tiga tapak tersebut adalah Tanah Warta Jabatan Veterinar Sabak Bernam di Beting Kepah, Sungai Apong, Mukim Bagan Nakhoda Omar; Tanah Milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Mukim Sungai Panjang atau Tanah Warta Pentadbir Tanah Sabak Bernam di Pekan Bagan Terap.
“Penternakan yang dibenarkan di tapak-tapak itu hendaklah dijalankan secara feedlot dan mematuhi syarat-syarat ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, lebih 173 penternak lembu membuat bantahan aman di hadapan Bangunan SUK Selangor apabila diarah membawa keluar 4,000 ternakan mereka dari ladang SD Guthrie di seluruh Selangor ini selewat-lewatnya 31 Januari ini.
Rata-rata mereka terkejut menerima notis sejak 31 Disember lalu susulan syarikat berkenan didakwa sewenang-wenangnya mengeluarkan satu lagi notis menggunakan kenyataan Rizam Ismail yang sebelum ini hanya menyatakan pemindahan lembu bagi penternak di Sabak Bernam sahaja.
Menurut Rizam, dalam mesyuarat pada 17 Disember tahun lalu, beliau telah dimaklumkan oleh SD Guthrie bahawa penternakan lembu tersebut dijalankan secara tidak sah dan kerana itu mereka diarah berpindah.
Malah, katanya, keputusan tersebut merupakan polisi dalam syarikat tersebut memandangkan tanah ladang berkenaan adalah milik SD Guthrie, bukan arahan Kerajaan Negeri.
“Dengan pendekatan yang telah diambil, Kerajaan Negeri percaya bahawa penyelesaian yang dicapai bukan sahaja adil tetapi berdasarkan empati terhadap semua.
“Keutamaan kami adalah melindungi kepentingan penduduk, menjamin keselamatan awam dan memberi peluang kepada penternak untuk meneruskan aktiviti mereka di lokasi sesuai,” katanya lagi.
Baca juga: