Ulasan | Trend ibu bapa ‘by pass’ sekolah kebangsaan, kualiti atau kurang percaya?

Oleh: Dr Anuar Ahmad

DATA-data pendidikan terkini menunjukkan berlumba-lumba ibu bapa bumiputera mahu menghantar anak-anak mereka ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Jumlah permohonan berkali-kali ganda berbanding tempat yang disediakan.

Pada masa itu sama, semakin ramai ibu bapa Bumiputera menghantar anak-anak ke Sekolah Cina. Sejak lima tahun lalu, kadar ‘enrolmen’ murid bumiputera di sekolah Cina telah meningkat dari 18 peratus (2017) kepada 21 peratus murid (2022). Pada tahun 2010, kadar murid bumiputera di sekolah Cina hanya 10 peratus.

Ibu bapa yang berkemampuan pula makin ramai menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Antarabangsa. Dulu hanya ibu bapa yang betul-betul kaya sahaja tetapi sekarang ada ibu bapa yang sanggup ambil pinjaman semata-mata untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa.

Sebahagian ibu bapa yang beragama Islam ada yang memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah Tahfiz Swasta. Hinggakan bilangan sekolah tahfiz swasta tumbuh seperti ‘cendawan selepas hujan’ di negara ini, termasuklah pusat tahfiz yang tidak berdaftar.

Trend terkini juga menunjukkan semakin ramai ibu bapa yang berpendidikan tinggi membuat keputusan mengamalkan pendidikan ‘homeschooling’ untuk anak-anak mereka.

Rumusan: Walaupun jumlahnya masih kecil berbanding keseluruhan murid di sekolah harian, tidak dinafikan semakin meningkat keputusan ibu bapa ‘mengelak atau ‘by pass’ daripada menghantar anak-anak ke sekolah harian biasa samada sekolah kebangsaan (SK) atau sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). 

Semua data di atas TIDAK menyatakan telah berlaku kemerosotan ‘enrolmen’ murid ke sekolah harian kebangsaan. ‘Enrolmen’ sekolah kebangsaan harian tetap akan terus meningkat kerana kelahiran baru meningkat saban tahun. 

Sebaliknya, semua data di atas menunjukkan berlakunya trend peningkatan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke SJKC, antarabangsa dan sekolah agama. 

Soalan: Mengapa ada ibu bapa yang memilih untuk ‘by pass’ sekolah harian (SK dan SMK)?

  • Apakah kerana mereka kurang percaya pada keupayaan sekolah kebangsaan? 
  • Apakah mereka rasa sekolah kebangsaan tidak mencapai kualiti yang diharapkan? 
  • Apakah mereka rasa sekolah kebangsaan tidak mampu memenuhi keperluan pembelajaran anak-anak mereka? 
  • Apakah ibu bapa merasakan sekolah kebangsaan terlalu Islamik?
  • Apakah ibu bapa merasakan sekolah kebangsaan tidak mengembirakan dan terlalu membebankan anak-anak mereka? 
  • Apakah ibu bapa sekarang melihat sekolah kebangsaan ibarat rangka seekor ‘dinosour’? Walaupun bersaiz besar tetapi sudah ‘ketinggalan zaman?. Semakin hari semakin ‘pupus’ (baca:kepercayaan) ibu bapa?

Kita boleh berbeza pandangan. Tetapi fenomena ini memang sedang berlaku.

***Penulis adalah Felo Bersekutu Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) dan giat menulis mengenai isu pendidikan di sosial medianya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat