Misi delegasi Malaysia berjaya perkukuh hubungan antarabangsa dan ASEAN

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kejayaan misi delegasi Malaysia ke empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Belgium dan Switzerland.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata, misi itu bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, menarik pelaburan dan meningkatkan perdagangan.

“Tetapi juga menekankan pentingnya tumpuan kepada ekonomi, budaya ilmu, kemahiran, keterampilan dan kecerdasan buatan (AI).

“Sikap ini harus kita teladani ketimbang sepanjang masa berbicara soal titik bengik yang memecah belah dan merugikan,” katanya.

Beliau turut menggunakan misi itu untuk menjulang hubungan erat ASEAN sebagai kekuatan rantau dengan menekankan keterangkuman dan kemampanan sebagai tunjang kebangkitan Malaysia dan ASEAN.

Tambah Anwar, di bawah kepengerusian Malaysia, ASEAN berpegang teguh pada prinsip kepusatan, di mana blok ini bebas bekerjasama dengan Amerika Syarikat, China, India, Eropah dan negara-negara lain tanpa perlu memihak atau terikat dengan konflik luaran.

Dalam rangka lawatan tersebut, beliau mengetuai delegasi Malaysia termasuklah ke Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos menerusi destinasi lawatan akhirnya ke Switzerland.

Beliau turut menggunakan sebaik mungkin pentas WEF 2025 untuk menyuarakan pandangan ASEAN.

Di mana Anwar turut menzahirkan pendirian blok itu yang memberi perhatian khusus kepada ekonomi dan perdagangan. Di samping memanfaatkan perdagangan intra-ASEAN sebagai kekuatan seiring kemajuan Amerika Syarikat, China, Eropah dan BRICS.

Anda Mungkin Berminat