Moody’s iktiraf usaha kerajaan pacu ekonomi Malaysia – PM

PETALING JAYA: Moody’s Investors Service telah mengekalkan penarafan berdaulat Malaysia pada tahap A3 dengan tinjauan Stabil.

Ia sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan Malaysia untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan ketahanan di tengah-tengah cabaran global yang mencabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengesahan Moody’s itu menggambarkan usaha gigih kerajaan dalam melaksanakan perubahan struktural dengan panduan dasar yang jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap standard tadbir urus yang tinggi.

“Pengesahan penarafan oleh Moody’s merupakan pengiktirafan ke atas usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu perubahan struktur, berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada piawaian tatakelola yang tinggi.

“Kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan memanfaatkan kepengerusian Malaysia ASEAN 2025 untuk memimpin blok ekonomi ke arah kerjasama yang erat dan hasil yang saling menguntungkan untuk rantau ini.

Terdahulu, Moody’s menegaskan bahawa Malaysia akan menjadi ekonomi A-rated yang paling pantas berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang masih kukuh.

Selain itu, katanya, struktur ekonomi yang pelbagai dan stabil serta kecekapan dan daya saing yang tinggi adalah antara faktor yang menyokong pertumbuhan Malaysia.

Perdana Menteri turut berkata, langkah-langkah pengukuhan seperti Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan dasar fiskal.

“Dengan anggaran awal KDNK suku keempat 2024 pada 4.8 peratus, Malaysia dijangka mencapai sasaran pertumbuhan ekonominya antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus pada tahun 2025.

“Kerajaan juga optimis bahawa pertumbuhan akan terus kukuh antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun 2025 dengan usaha konsolidasi fiskal yang akan mengurangkan defisit kepada 3.8 peratus daripada KDNK pada tahun 2025,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat