PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menggesa syarikat konsesi lebuh raya untuk menanggung separuh daripada kos diskaun tol 50 peratus semasa musim perayaan.
Beliau berkata, syarikat-syarikat berkenaan telah menikmati keuntungan selama beberapa dekad dan perlu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka.
“Saya dengan ini menggesa para konsesi lebuh raya untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka dengan menanggung kos diskaun tersebut dan bukannya bergantung semata-mata kepada subsidi kerajaan.
“Banyak syarikat konsesi lebuh raya telah menikmati keuntungan selama beberapa dekad,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Chean Chung mencadangkan agar subsidi tol perayaan secara beransur-ansur dihentikan menjelang tahun 2027, tiga tahun selepas penambahbaikan besar pada sistem pengangkutan awam seperti Projek Rel Pantai Timur (ECRL) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) dijangka siap.
Beliau percaya peralihan itu akan membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya dan menyediakan pilihan yang lebih baik daripada segi kos bagi rakyat Malaysia.
Terdahulu, Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet pada Jumaat bersetuju untuk memberikan potongan tol 50 peratus daripada kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
Menerusi kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.
Chean Chung turut menekankan pentingnya tanggungjawab bersama dan kesedaran mengenai kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk subsidi tol.
“Subsidi kerajaan untuk diskaun tol bukanlah percuma. Ia menelan belanja perbendaharaan negara lebih RM100 juta setiap tahun.
“Malah menyumbang kepada peningkatan pelepasan karbon dan gagal menangani punca kesesakan lebuh raya,” ujarnya.