Tol percuma bersasar adalah langkah bijak, adil untuk rakyat

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Madya Dr Hamdan Mohd Salleh mengakui bahawa pelaksanaan subsidi tol bersasar adalah langkah terbaik untuk memberikan keadilan untuk rakyat.

Beliau berkata, mekanisme itu akan membantu mengurangkan beban majoriti rakyat Malaysia yang melangkaui kategori B40 dan M40.

Dr Hamdan mencadangkan beberapa langkah untuk melaksanakan subsidi tol bersasar termasuk menggunakan Sistem Identifikasi Elektronik seperti RFID atau kad tol elektronik yang dikaitkan dengan maklumat penerima subsidi.

“Kedua, adalah dengan mewujudkan subsidi secara berperingkat. Sebagai contoh pada Tahun Baru Cina dengan memberikan kadar subsidi berbeza mengikut kemampuan penerima, kekerapan perjalanan atau jarak yang ditempuh.

“Selain itu, kerajaan boleh memperkasakan infrastruktur digital dengan platform mudah alih atau portal untuk pendaftaran dan pengurusan subsidi,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Beliau berkata, kesedaran awam atau advokasi juga penting untuk memastikan rakyat memahami kepentingan pelaksanaan itu.

Dr Hamdan turut memuji kerajaan atas tindakan mengurangkan tanggungan tol 50 peratus bersempena Tahun Baru Cina yang dapat memperbaiki keadaan ekonomi dan infrastruktur negara.

“Jika dilihat, aspek ini sentiasa menjadi amalan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana, lebihan dana yang digunakan itu adalah untuk membaik pulih jalan raya. membina jalan alternatif dan menambah lorong bagi mengurangkan kesesakan.

“Dengan pengurusan yang baik, lebihan dana ini dapat memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara,” katanya.

Terdahulu, bersempena sambutan Tahun Baru Cina, kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil keputusan untuk memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus kepada pengguna lebuh raya.

Keputusan tersebut menunjukkan kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat yang sekali gus berusaha meringankan bebanan mereka.

Anda Mungkin Berminat