Ulasan | AMANAH ada masa depan, perbetul kompas politik negara

Oleh: Mohd Yusri Ibrahim

ULASAN | SELEPAS 10 tahun beroperasi dan dua kali menyertai Kerajaan Persekutuan, prestasi Parti Amanah Negara (AMANAH) agak statik, tidak banyak perubahan.

AMANAH dilihat cuba tampil dengan pembawaan Islam progresif, namun sehingga kini mereka masih gagal mendapat dukongan segmen muslim itu sendiri. Sehingga kini, kajian-kajian saya di lapangan mendapati populariti AMANAH dalam segmen Melayu-Muslim masih tidak pernah melebihi paras lima peratus.

Dalam segmen Melayu-Muslim, sokongan mereka lebih terarah kepada PAS, UMNO dan PKR (BERSATU juga tidak mendapat tempat). Dalam PRU15 lepas (termasuk PRN 6 negeri 2023), AMANAH hanya mampu menang di kawasan bandar dengan demografi bercampur. Di kawasan Melayu-Muslim solid khususnya di luar bandar, AMANAH kalah.

Dengan kata lain, kemenangan AMANAH dalam siri-siri pilihan raya yang mereka sertai banyak dipengaruhi kekuatan jenama Pakatan Harapan (PH) itu sendiri. Dengan kata lain AMANAH banyak bergantung kepada sokongan kekuatan PKR dan DAP untuk menang.

Jika bertanding sendirian, AMANAH tidak mempunyai peluang untuk menang. Menuju PRU16, kondisi mereka masih sama, belum mampu bangkit untuk jadi antara parti pilihan orang Melayu-Muslim. Banyak faktor mempengaruhi situasi ini, faktor dalaman dan faktor luaran. Antara faktor dalaman adalah AMANAH masih gagal mempamer hala tuju sebenar parti mereka.

Mereka mendakwa ingin jadi parti progresif yang centris, fokus kepada pelbagai isu dan segmen tanpa mengkhususkan kepada isu Melayu-Muslim semata-mata. Itulah yang mereka bawa dalam ‘core business’ harian. Tiada yang salah dengan ‘political will’ ini.

Masalahnya apabila tiba musim pilihan raya, mereka akan dinamakan untuk bertanding di kerusi-kerusi Melayu-Muslim termasuk di luar bandar. Kerana kerusi bercampur khususnya di bandar majoritinya diwakili oleh PKR dan DAP, sesuai dengan falsafah perjuangan kedua-dua parti tersebut.

Bayangkan program dan ‘political will’ parti banyak difokuskan kepada pelbagai isu dan segmen lain, namun apabila pilihan raya mereka bertanding di kerusi konservatif Melayu-Muslim. Bolehkah A menang? Sudah tentu tidak. Bak kata siang malam berlatih main bola, apabila tiba hari kejohanan bertanding acara badminton, bagaimana nak menang?

Faktor luaran pula banyak dipengaruhi oleh psikografi pengundi Melayu-Muslim itu sendiri. Majoriti masayarakat Muslim di Malaysia berada dalam pembawaan konservatif. Mereka sangat sensitif terhadap isu terkait kesucian agama Islam dan hak-hak istimewa orang Melayu.

Sentimen dan emosi ini banyak mempengaruhi pola pemikiran politik mereka. Mereka lebih cenderung untuk menyokong dan mendokong parti politik yang mempamerkan sentimen kuat untuk memperjuang kedua-dua elemen agama dan bangsa ini.

Pada pandangan orang Melayu-Muslim di Malaysia, AMANAH terkeluar dalam senarai tersebut. Mereka tidak melihat AMANAH sebagai parti bernuansa Islam dan bernuansa Melayu. Pada perkiraan psikografi mereka, tiada sebab untuk menyokong AMANAH.

Bahkan sebahagiannya lagi melihat sokongan terhadap AMANAH seperti menentang perjuangan Islam. Untuk melangkah jauh ke depan dalam landskap politik Malaysia, AMANAH perlu bersegera membetulkan falsafah dan kompas politik mereka.

Tiada salahnya dengan pembawaan mereka untuk fokus dan perjuangkan pelbagai isu dalam negara, namun dalam masa sama isu-isu terkait Melayu-Islam juga perlu dijuarai. Ini kerana mereka akan bertanding dalam segmen tersebut semasa pilihan raya. Tidak banyak yang boleh dibanggakan dengan falsafah dan pembawaan politik jika kalah memanjang dalam pilihan raya.

Sebab itu AMANAH perlu lebih bijak untuk memposisi diri termasuk bagaimana untuk menawan dan menambat cinta orang Melayu. Mereka perlu lebih bijak untuk memilih ‘golden mean’ (penengah yang unggul) untuk menyeimbangkan pendekatan progresif dan centris yang diperjuangkan tetapi dalam masa sama mendapat sokongan segmen Melayu-Muslim.

Orang Melayu mindanya mudah, mereka sukar dan tidak berminat untuk memahami falsafah-falsafah yang terlalu abstrak contohnya konsep rahmatan lil aalamin pembawaan AMANAH. Konsep ini bagus, tetapi AMANAH perlu lebih bijak membungkus (packaging) produk ini untuk dipasarkan ke segmen Melayu-Muslim. Sebab mereka tidak faham terminologi-terminologi yang terlalu abstrak dan bombastik, apatah lagi yang dipetik daripada Bahasa Arab dan sebagainya.

AMANAH perlu bersegera membuat reformasi untuk bangkit dalam landskap politik negara. Mereka mempunyai masa depan dalam pentas politik Malaysia, namun sudah tentu kompas politik mereka perlu disesuaikan dengan destinasi perjalanan.

Sahabat-sahabat Parti Amanah Negara, selamat berkonvensyen.

Anda Mungkin Berminat