PETALING JAYA: Perbadanan Putrajaya diminta untuk mengkaji keperluan memanjangkan tempoh pelaksanaan program ‘Hari Tanpa Kereta’ atau ‘ Free Car Day’ (CFD) kepada sepanjang hari.
Sebelum ini, program tersebut berlangsung di Putrajaya selama beberapa jam setiap Ahad pada minggu kedua setiap bulan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pemanjangan tempoh program itu bukan sahaja dapat memberi lebih ruang kepada aktiviti sihat kepada para penduduk, malah turut menyumbang kepada usaha menangani isu perubahan iklim yang menjadi tumpuan dunia.
“Namun begitu, keberkesanan inisiatif ini memerlukan sokongan padu daripada rakyat untuk mencapai objektif bersama,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam kenyataan sama, Dr Zaliha mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaku rakan strategik yang menyokong inisiatif CFD.
Beliau turut mengalu-alukan lebih ramai rakan strategik untuk turut bekerjasama dalam menjayakan objektif murni tersebut.
Terdahulu, Dr Zaliha menyempurnakan program CFD dengan kehadiran sehingga 4,000 peserta.
Program itu menyokong visi Bandar CHASE, khususnya inisiatif Eco-friendly City dan Healthy City, dalam usaha menjadikan Putrajaya sebagai bandar yang mampan dan mesra alam.
Baca juga: