Kepengerusian ASEAN 2025: Beri limpahan ekonomi kepada PKS

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kepengerusian ASEAN 2025 di Malaysia dijangka memberikan limpahan ekonomi yang besar kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), khususnya di negeri-negeri yang menjadi lokasi penganjuran.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, limpahan ekonomi ini disebabkan oleh peningkatan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang akan memanfaatkan PKS melalui keperluan pelabur dan pengilang untuk perkhidmatan pembekal dan sebagainya.

Menurut beliau, penganjuran acara ASEAN di Malaysia membuka peluang besar kepada PKS.

“PKS boleh mengambil peluang dan manfaat daripada ASEAN 2025 dengan lebih cakna dan mengambil tahu peluang yang ditawarkan oleh ASEAN 2025.

“Selain itu, persediaan daripada segi sumber manusia, infrastruktur, kewangan dan operasi juga penting bagi memenuhi permintaan ASEAN 2025,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Dalam usaha untuk mengembangkan PKS di rantau ASEAN, Dr Razman mencadangkan supaya kerajaan meneruskan inisiatif sedia ada seperti kemudahan pembiayaan, pemberian dana, khidmat nasihat, pengurangan birokrasi dan memudahkan urusan perniagaan dan perdagangan.

Terdahulu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan pertumbuhan PKS sebanyak lima peratus pada tahun 2027.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yakin sasaran itu dapat dicapai menerusi kepengerusian ASEAN pada tahun ini.

Selan itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Inap Desa Langkawi, Abdul Jamil Ali turut menegaskan bahawa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Langkawi adalah peluang untuk menonjolkan keindahan semula jadi pulau itu serta membuka pintu rezeki kepada masyarakat setempat.

Anda Mungkin Berminat