CHUKAI: Polis menahan seorang pempengaruh pada Ahad, selepas dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan mendatangkan kegusaran awam berhubung kes pukul membabitkan lelaki orang kurang upaya (OKU).
Suspek lelaki yang berusia 36 tahun itu ditahan selepas laporan diterima pada 23 Januari lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, suspek ditahan di sebuah hotel di Segamat, Johor pada jam 6.55 pagi.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke mahkamah manakala polis mendapat perintah reman sehingga Isnin untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, suspek juga akan disiasat mengikut seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan.
Minggu lalu, media melaporkan, lelaki OKU mental dipukul di hadapan orang ramai di pasar pagi Jalan Padang Astaka, Chukai, di Terengganu.
Lelaki itu dipercayai menunggang motosikal dan memasuki tapak jualan sebelum terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.
Insiden itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi, manakala polis turut menahan beberapa individu bagi siasatan lanjut.
Baca juga: