PETALING JAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan Chatbot Sebenarnya.my, sebuah inisiatif terkini untuk memastikan rakyat mendapat maklumat sahih.
Menurut beliau, chatbot yang dinamakan Artificial Intelligence Fact-Check Assistant (AIFA) merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membanteras penyebaran maklumat palsu serta memupuk literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia.
AIFA ialah alat penting untuk memperkasakan rakyat dengan maklumat disahkan oleh pihak berwajib dan mengurangkan impak buruk daripada maklumat palsu yang tersebar.
“Dengan kemudahan ini, pihak SKMM menawarkan kepada rakyat cara mudah, pantas dan boleh dipercayai untuk mengesahkan maklumat yang mereka terima atau temui secara dalam talian,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Chatbot Sebenarnya.my di sini hari ini.
Fahmi berkata, AIFA direka untuk membolehkan pengguna menghantar mesej yang diragui untuk pengesahan.
Berdasarkan data daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebanyak 20,000 kandungan berita palsu telah dikesan tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 17,245 kandungan berjaya diturunkan daripada platform media sosial selepas disahkan palsu. Sehingga 27 Januari 2025, 1,575 berita palsu telah dikenal pasti, dan 1,233 daripadanya telah berjaya diambil tindakan.
Tambah Fahmi chatbot AIFA disediakan dalam pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, dan Tamil.
Beliau juga berkata kementerian merancang untuk menambah ciri baharu yang membolehkan pengesahan kandungan multimedia pada masa hadapan.