PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan bahawa aliran trafik di lebuhraya utama perlahan berikutan peningkatan kenderaan pulang ke kampung halaman sempena Tahun Baru Cina.
Menurut LLM, setakat pukul 10.30 pagi Rabu, trafik meningkat di sekitar Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) E8.
“Ini membabitkan laluan ke arah Timur iaitu susur masuk plaza Tol Gombak, Gombak ke Genting Sempah, dan Bukit Tinggi ke Lentang,” menurut hantaran di laman Facebook.
Pada masa sama, LLM berkata, cuaca pada pagi ini dilaporkan dalam keadaan baik sementara pengguna jalan raya dinasihati mengamalkan sikap toleransi dalam pemanduan.
“Awasi jarak selamat kenderaan anda. Semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju,” katanya.
Menerusi hantaran berasingan LLM berkata, beberapa laluan lorong pintar (smart lane) diaktifkan bagi memudahkan perjalanan pulang pengguna jalan raya ke kampung halaman.
Antaranya di Lebuhraya PLUS KM289.4 hingga KM292.6 arah utara dari Putra Mahkota ke Southville City, Lebuhraya Elite KM8.2 hingga KM5.4 arah utara dari USJ ke Seafield, dan di pelbagai lokasi lain yang tersenarai di siaran LLM.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.