Ulasan | Dedikasi sedari muda, PMX konsisten pejuang isu kemiskinan

Oleh:  Dr Zulkifli Hasan

ULASAN | BARU-baru ini di Davos, Switzerland, Pemenang Hadiah Nobel dan penasihat kerajaan sementara Bangladesh, Prof Dr Muhammad Yunus menyebut bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) merupakan yang paling awal mengaplikasikan idea model kewangan sosial Grameen Bank dengan tertubuhnya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 17 September 1987.

Grameen Bank diasaskan oleh Prof Muhammad Yunus pada 1983 di Bangladesh, yang menjadi peneraju global dalam pinjaman mikro kepada golongan miskin.

Grameen bermaksud ‘kampung’ dalam Bahasa Benggali.

AIM pula diasaskan pada 1987, sewaktu PMX memegang jawatan Menteri Pendidikan.

PMX ketika itu mengarahkan USM untuk membuat kajian berkenaan Grameen Bank, selanjutnya mendorong penubuhan Projek Ikhtiar oleh Prof David Gibbons dan Prof Madya Sukor Kasim dari universiti tersebut pada 1986 yang akhirnya berkembang menjadi AIM pada 1987.

Sebagaimana ikhtiar PMX membantu sahabat dan orang kampung di MCKK dan sekitar Kuala Kangsar menerusi penubuhan Kelab MaraMunJangan (Mara Ke Depan, Mundur Jangan) ketika di bangku sekolah, beliau meneruskan usaha memperjuangkan isu kemiskinan sewaktu memimpin MBM, ABIM dan PKPIM.

Ketika sekolah menengah di MCKK, PMX turut dikenang kerana mengajar tuisyen dan memberi motivasi secara percuma kepada penduduk kampung bersama sahabat beliau seperti Osman Bakar (kini Profesor Emeritus Dato’ Dr.).

PMX malah mengetuai Demonstrasi Baling pada 1974 bagi memperjuangkan nasib petani miskin di Kedah ketika itu sehingga mendekam dalam tahanan selama 20 bulan di Kamunting, Perak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dengan mengambil semangat di sebalik keberkesanan Bank Grameen di Bangladesh, AIM telah membuka ruang untuk ramai penerimanya berdikari dan keluar daripada kancah kemiskinan.

AIM amat istimewa di hati PMX, malah pernah meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada agensi itu pada 1990-an ketika menjadi Menteri Kewangan.

Perjuangan PMX untuk menoktahkan kemiskinan adalah konsisten sejak dari dahulu lagi.

Menariknya, pada 1985, ketika menjadi Menteri Pertanian, PMX telah memperkenalkan konsep Pasar Tani yang sehingga hari ini menjadi tapak bagi para petani dan penternak menjual sendiri hasil tanaman mereka bagi mendapatkan harga yang lebih baik berbanding melalui orang tengah atau pemborong.

Dan penubuhan AIM adalah manifestasi, komitmen dan kesungguhan beliau dalam menoktahkan kemiskinan di negara ini.

PMX pasti berbangga dengan perkembangan AIM kini yang telah mempunyai lebih 300,000 sahabat wanita seluruh negara, sekali gus membantu ramai golongan itu keluar daripada kepompong kemiskinan dan ada yang menjadi usahawan berjaya.

Menerusi Gagasan Malaysia MADANI yang diperjuangkan kepimpinannya, pelbagai bentuk bantuan diberikan kepada rakyat dengan niat mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

PMX telah mendedikasikan hidup beliau dalam usaha membasmi kemiskinan sejak dari zaman mahasiswa hinggalah ke hari ini.

Tidak pernah luntur.

Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.

Anda Mungkin Berminat