KUNAK: Seorang wanita warga emas maut selepas diserang sekumpulan anjing liar di kawasan Terminal Bas Kunak pada Sabtu lalu.
Kejadian berlaku sekitar pukul 1.49 pagi dan dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).
Mangsa yang dipercayai berusia dalam lingkungan 60-an, diserang kira-kira 11 ekor anjing.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 6.30 pagi yang melaporkan penemuan mayat wanita tersebut.
“Siasatan awal mendapati mangsa terbaring tanpa pakaian dengan kesan gigitan anjing liar di beberapa bahagian badan termasuk tangan kiri, kepala, dada, pinggang, dan kedua-dua belah kaki,” katanya.
Menurut beliau, mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dipercayai bukan penduduk asal Kunak.
Tambah Sabarudin, jenazah telah dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kini difahamkan, pihak berkuasa sedang berusaha mengenal pasti identiti mangsa dan akan melakukan tindakan lanjut bagi menangani masalah anjing liar di kawasan tersebut.