Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu Gaza tidak akan memiskinkan negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman.
Dalam satu kenyataan, beliau memuji Anwar yang baharu melancarkan Projek Bandar Wakaf bagi membangunkan semula Gaza, selepas bulan Ramadan.
“Seperti kata pepatah, ‘hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati’. Bantuan seperti ini tidak akan memiskinkan kita, malah ia adalah pelaburan untuk kesejahteraan umat manusia.
“Dengan pembinaan Masjid Berkembar Shah Alam, Apartment Wakaf Selangor dan Sekolah Malaysia di Gaza, ia tidak hanya memberikan keperluan asas kepada rakyat Palestin, tetapi juga harapan baru untuk masa depan mereka,”ujarnya.
Syed Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Altimet juga menyeru semua pihak, sama ada rakyat biasa, sektor swasta atau NGO untuk bersama-sama menyokong projek ini.
“Bantulah usaha ini dengan keyakinan bahawa ‘tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima’,”ujarnya.
Tambahnya, usaha Perdana Menteri ini juga membuktikan bahawa Anwar sebagai pemimpin peringkat ASEAN yang komited berjuang dalam isu kemanusiaan.
“Ia adalah cerminan Malaysia Madani yang menjunjung nilai kemanusiaan sejagat dan solidariti bersama rakyat Palestin.
“Lebih membanggakan, dana bantuan ini datang daripada dana bebas dan sumbangan sektor korporat, yang menunjukkan kepercayaan tinggi pelbagai pihak terhadap kemampuan dan keikhlasan negara kita,” jelasnya.
Untuk rekod, Anwar sebelum ini mengumumkaan komitmen sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi ASEAN untuk membangunkan semula Gaza dengan bantuan negara Jepun selepas gencatan senjata dicapai antara Gaza dan Israel.