Mangsa banjir Sabah, Sarawak meningkat kepada 15,032 orang

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Jumlah penduduk terjejas akibat banjir di Sabah dan Sarawak terus meningkat, mencecah 15,032 orang setakat pukul 6 pagi tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NADMA), daripada jumlah tersebut, 9,641 mangsa direkodkan di Sarawak, manakala 5,391 lagi di Sabah.

Menurut NADMA, sebanyak 94 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih aktif dengan 56 daripadanya di Sarawak dan 36 di Sabah.

Katanya, antara daerah paling teruk terjejas di Sarawak ialah Bintulu dengan 4,021 orang daripada 1,087 keluarga ditempatkan di enam PPS.

Tambahnya, Serian pula mencatatkan seramai 1,489 penduduk daripada 479 keluarga berlindung di 11 PPS dan 900 orang daripada 198 keluarga ditempatkan di empat PPS di Selangau.

Jumlah penduduk terjejas menunjukkan peningkatan di daerah seperti Bintulu, Selangau, Kuching dan Miri, manakala kawasan seperti Serian dan Tatau menunjukkan penurunan.

“Di Sabah, sebanyak 36 PPS masih beroperasi dengan menempatkan 5,391 penduduk terjejas banjir daripada 1,820 keluarga.

“Kota Marudu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,864 orang di sembilan PPS, diikuti Pitas dengan 768 orang dan Lahad Datu dengan 443 orang,” jelas NADMA menerusi satu hantaran di Facebook.

Untuk info, keadaan di Sabah menunjukkan peningkatan di beberapa daerah seperti Pitas, Beluran dan Paitan, manakala daerah lain seperti Kota Marudu, Lahad Datu, Telupid, Kota Belud, Sandakan, Beaufort dan Tongod kekal tidak berubah.

Anda Mungkin Berminat