Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican menyarankan media tempatan untuk menyuarakan cadangan menjadikan negara-negara ASEAN sebagai Zon Bebas Genosid.
Beliau menegaskan bahawa pengisytiharan itu perlu disegerakan memandangkan kejadian genosid pernah berlaku dan sedang berlaku di Gaza.
“Dalam sejarah moden rantau ASEAN sejak tahun 1970an, kita telah mengalami beberapa peristiwa genosid. Ia amat dekat dengan kedudukan Malaysia.
“Media Malaysia hendaklah menyiarkan ulasan dan komentar yang tepat dan mendalam supaya ia dibincangkan dan diterima oleh semua ahli rantau ini.
“Walaupun ada ahli yang tidak bersetuju, adalah tanggungjawab media kebangsaan memainkan peranan advokasi sambil menyediakan pelantar dialog serantau menentang gejala genosid,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengumumkan bahawa bantuan Malaysia dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin akan dijalankan menerusi kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Usaha pembangunan semula Gaza juga melibatkan kerjasama antara kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.
Pada 19 Januari lalu, gencatan senjata melibatkan tiga fasa antara kumpulan Hamas dan Israel mula berkuat kuasa dalam fasa satu meliputi tempoh enam minggu, perjanjian yang hadir hanya selepas lebih 460 hari konflik menyebabkan kemusnahan besar kepada Gaza serta meragut nyawa puluhan ribu rakyat Palestin.