Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas kejadian tragis yang baru-baru ini berlaku di Lapangan Terbang Nasional Reagan, Washington D.C.
Dalam hantaran di laman Facebooknya, Anwar memaklumkan bahawa keluarga dan rakan-rakan di Amerika Syarikat, Rusia, China, Filipina dan Jerman kini berkabung atas kehilangan orang tersayang.
“Sangat memilukan apabila mendapat tahu bahawa antara yang terkorban adalah para atlet luncur ais berbakat yang memiliki masa depan yang cerah.
“Dalam saat duka ini, saya berharap keluarga mereka diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi kesedihan yang mendalam ini,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia turut sama bersimpati dan berkongsi kesedihan atas tragedi yang menyayat hati itu.
Pada Rabu lalu, sebuah pesawat Bombardier milik PSA Airlines bertembung di udara dengan sebuah helikopter tentera Black Hawk berhampiran Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan, Washington D.C.
Kejadian berlaku ketika pesawat tersebut sedang menghampiri landasan untuk mendarat.
Akibat perlanggaran itu, kedua-dua pesawat terhempas ke dalam Sungai Potomac.
Kesemua 67 orang di dalamnya terkorban, termasuk beberapa pemain luncur ais AS yang telah mengambil bahagian dalam kem pembangunan Luncur Ais AS di Wichita, Kansas.
Pasukan kecemasan sedang giat menjalankan usaha mencari dan menyelamat.
Baca juga: