BANTING: Polis sedang giat mengesan seorang suspek lelaki yang disyaki menyamun menggunakan senjata di kedai makan D’Morib Asam Pedas, di sini, lebih kurang pukul 10 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya menerima laporan daripada pengadu iaitu seorang lelaki warga tempatan pada pukul 1.43 petang.
Beliau berkata, pengadu melaporkan bahawa semasa pengadu sedang makan bersama rakannya di kedai makan berkenaan, suspek meluru ke arahnya dengan bersenjatakan parang.
“Suspek bertindak mengangkat parang yang dibawa ke arah pengadu dan menyuruh pengadu menyerahkan beg sandang milik pengadu.
“Pengadu telah menyerahkan beg sandang miliknya kepada suspek sebelum suspek melarikan diri menaiki sebuah kenderaan disyaki jenis Toyota Camry ke arah tidak pasti,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, Mohd Akmalrizal berkata, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
“Pihak polis kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan boleh tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat dan boleh hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya.