Oleh: Norman Radzuan
ULASAN | PALESTIN bumi istimewa, umat Islam wajib pertahankan. TIDAK SANGKA RAFIDAH KRITIK USAHA ANWAR.
Saya tidak terkejut bila MCA kritik usaha Anwar ingin bantu bumi Gaza, Palestin tetapi saya terkejut bila Rafidah Aziz juga mengkritik usaha tersebut. Bagaimana seorang muslim boleh berkata demikian.
Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang dari MCA, Law Yiak Kwang menghasut masyarakat Cina dengan mendakwa Anwar kini menjadi ‘Perdana Menteri Palestin.’
Dia turut menyokong kenyataan MCA Johor, yang mempertikaikan dasar kerajaan terhadap Palestin, JAKIM dan program derma al-Quran ke seluruh dunia.
Dalam keadaan Anwar sebagai Perdana Menteri diserang, saya bukan sahaja marah tetapi sedih melihat sikap PAS yang tidak menyokong usaha untuk membantu rakyat Palestin.
Saya marah kerana PAS guna Islam, guna bangsa, guna isu Palestin untuk kepentingan politik menghasut orang Melayu. Tapi sayang PAS bukan jujur demi Allah. Jika benar PAS berjuang atas nama Allah sudah pasti mereka pertahankan usaha Perdana Menteri.
Bumi Palestin kini hancur… mereka perlu hospital kerana setiap minggu diserang Israel dan ramai yang cedera. Ada yang tangan dan kaki hancur yang perlukan rawatan.
Kita berpuluh hospital beribu klinik, hanya lewat menunggu ‘naik angin’ seluruh badan ini pula mereka tiada tempat untuk mengubati luka di badan.
Begitu juga PAS sering fitnah ISLAM TERANCAM di Malaysia yang rakyatnya boleh solat lima (5) waktu di masjid dengan pelbagai majlis ilmu di dalam suasana nyaman penghawa dingin.
Tapi bila usaha Anwar nak bina masjid, PAS diam hanya kerana ideologi politik berbeza. Sebenarnya di bumi Palestin itulah ISLAM TERANCAM yang perlukan pembelaan.
Sekolah… bila kerajaan hulurkan bantuan ke sekolah Cina PAS kata Anwar utama orang bukan Islam. Tapi bila Anwar mahu bina sekolah untuk rakyat Palestin kamu diam bila beliau dihina oleh MCA dan parti-parti pembangkang yang lain.
Bumi Palestin bumi istimewa yang disebut dalam al-Quran dan hadis buat umat Islam. Kita bantu mana termampu … negara Jepun kerajaannya bantu Palestin tiada rakyat Jepun kritik tetapi negara yang kononnya ada parti Islam tidak pertahankan usaha murni ini malah biar ia dikritik.
Disarankan juga untuk kerajaan membuka ‘TABUNG BINA SEMULA PALESTIN’ untuk rakyat Malaysia berpeluang bersedekah. Tabung ini mesti diuruskan oleh kerajaan sendiri bukan dibawah mana-mana NGO yang sering ambil kesempatan.
Apatah lagi untuk membina masjid sebagai bentuk sedekah atau saham akhirat pasti ramai yang menderma untuk tujuan tersebut.
Saya yakin dengan duit derma rakyat Malaysia sudah cukup membina dua buah masjid (kos RM10 juta satu masjid) di bumi Palestin. Lima juta umat Islam di Malaysia derma RM10 seorang sudah dapat RM50 juta.
Umat Islam di Malaysia memang terkenal dengan sikap murah hati untuk menderma. Jika orang buat fitnah pun dengan pantas orang Melayu boleh menderma lebih RM800,000 walaupun dibenci agama, inikan pula untuk bina masjid perkara yang disukai Tuhan.