PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan dengan budaya fitnah dan hasutan di dalam talian, yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Susulan itu, baginda mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa jenayah siber.
Baginda bertitah, kerajaan juga perlu tegas dalam membendung budaya tersebut dan bersikap proaktif untuk maklumat yang benar dan dipercayai.

Titahnya, ini termasuk pengukuhan infrastruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini yang perlu dilaksanakan segera.
“Sistem perkhidmatan kerajaan juga hendaklah dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus.
“Ini bagi membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa serta budaya ‘red tape’ yang menyusahkan urusan rakyat,” titah bagindak etika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Isnin.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilapor berkata, Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan mengenai buli siber dalam dan luar talian serta Akta Keselamatan Dalam Talian.
Fahmi berkata, ia akan diwartakan dalam tempoh terdekat bagi menangani isu ancaman dan keselamatan siber.
Pada 9 Disember tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024.
Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Keselamatan Dalam Talian 2024 pada 11 Disember tahun lalu bertujuan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
Baca juga: