KUALA LUMPUR:(KEMAS KINI) Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah, sebaliknya dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, parlimen juga merupakan dewan perhimpunan utama yang menjadi gelanggang pertemuan suara rakyat, tempat undang-undang digubal serta merupakan medan semak dan imbang.
Justeru, baginda bertitah, ahli dewan rakyat digesa untuk menjadi pembentang perpaduan negara dan bukan ejen perpecahan rakyat.
“Hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingakan parti atau kelompok sendiri sahaja. Saya perhati dalam persidangan dewan rakyat tahun lepas, ada ahli dewan yang berubah dan menunjukkan sikap lebih sopan. Tahniah kepada semua.
“Namun begitu, ada segelintir yang sukar untuk membuang tabiat lama. Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut kerana saya percaya setiap ahli sedar dan tahu bagaimana untuk jaga tingkah laku masing-masing.
“Saya juga hargai peranan yang dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ia menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen kedua oleh Sultan Ibrahim, selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024.
Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai 4 Februari.
Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari.
Takwim itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac.
Baca juga: