AS tangguh tarif, Malaysia tak ambil tindakan terlalu pantas – Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia tidak mengambil tindakan terlalu pantas dalam memberi respons mengenai ketidaktentuan geopolitik.

Mengambil contoh keputusan Amerika Syarikat (AS) yang menangguhkan tarif ke atas Mexico dan Kanada, Anwar berkata, ia dijangka akan berubah dalam tempoh sebulan.

Anwar berkata, melalui dasar yang disepakati ASEAN, Malaysia mengambil tindakan bebas dan berkecuali yang membuka jaringan dengan semua negara.

“Apa yang kita lakukan selama ini adalah, pertama, dasar yang bebas dan berkecuali tetapi secara agresif membuka jaringan degan negara lain, umpamanya Afrika, melalui Afrika Selatan, Euthopia, Amerika Latin, Brazil dan Peru, selain membuka pendekatan lebih baik dengan China dan Russia.

“Dengan jaringan ini, kita percaya boleh membantu dari sudut memberi ruang pelaburan baharu dan membuka peluang meningkatkan eksport ke negara lain.

“AS masih lagi jadi rakan perdagangan penting, yang mana perdagangan Malaysia dengan AS adalah sebanyak 11 peratus agak tinggi. Sementara itu, eskport Malaysia kepada AS masih kekal pada 13 perarus.Belum ada petanda perkara ini akan memberi dampak negatif,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau menjawab soalan asal Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai kedudukan Malaysia terhadap perang perdagangan dunia yang dicetuskan daripada pelaksanaan tarif oleh Presiden AS, Donald Trump dan sama ada Malaysia akan berdiri bersama negara China, Kanada dan Mexico, selain langkah kewangan dan fiskal untuk melindungi ekonomi dan rakyat Malaysia daripada kesan tarif berkenaan.

Trump mengumumkan beliau menangguhkan tarif ke atas Mexico dan Kanada selepas berbincang dengan pemimpin kedua-dua negara pada Isnin – hanya beberapa jam sebelum langkah itu dijadualkan berkuat kuasa.

Tarif yang dicadangkan diumumkan Trump pada Sabtu, termasuk duti sebanyak 25 peratus ke atas semua import dari Mexico dan kebanyakan import dari Kanada (dengan pengecualian tarif 10 peratus ke atas produk tenaga), serta tarif baharu sebanyak 10 peratus ke atas barangan China.

Pada Isnin, Trump berkata, beliau akan berbincang dengan China tidak lama lagi.

Trump menangguhkan tarif ke atas negara jiran AS selepas Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, bersetuju untuk meningkatkan kawalan di sempadan mereka dengan AS.

Anda Mungkin Berminat