‘Lebih bertanggungjawab, bukan fitnah tidak berasas’ – BBC

KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Kerajaan MADANI, Backbenchers Club (BBC) menepis segala dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat semalam yang mendakwa Perdana Menteri menderhaka terhadap institusi diraja.

BBC dalam satu sidang media di Parlimen berkata, dakwaan berkenaan adalah satu bentuk fitnah dan tidak berasas.

BBC menjelaskan bahawa tiada sebarang unsur penderhakaan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengesahkan kewujudan titah Tuanku Sultan Pahang berkaitan tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Beliau (PM) menjelaskan bahawa titah tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya dan menegaskan bahawa urusan berkaitan titah adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC) bukan di bawah tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri.

“Menyatakan fakta yang benar tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan,” katanya.

Menurut BBC, tuduhan yang dilemparkan adalah taktik lama pembangkang untuk mengelirukan rakyat dengan memainkan sentimen institusi diraja demi kepentingan politik mereka.

“Ia jelas satu cubaan yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat,” tambah mereka.

BBC turut menegaskan bahawa dakwaan pelabur tidak akan masuk ke negara ini kerana kononnya berlaku penderhakaan adalah tidak berasas.

“Keputusan pelabur bergantung kepada kestabilan ekonomi, polisi mesra pelabur dan keyakinan terhadap kepimpinan negara bukannya fitnah politik yang tidak berlandaskan realiti,” ujar mereka.

Mereka menambah bahawa fitnah sebegini bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik tetapi juga boleh merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Ketua Pembangkang (Hamzah) seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan bukan menyebarkan dakwaan tidak berasas demi kepentingan politik semata-mata.

“Rakyat perlu menolak politik fitnah dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat