PUTRAJAYA: Lawatan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia mencapai satu lagi kerjasama dalam sektor Petrokimia.
Melalui satu kenyataan bersama Kerajaan Uzbekistan menzahirkan minat untuk meneroka kerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Kenyataan itu menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Shavkat Mirziyoyev ingin menjalinkan kerjasama dalam sektor petrokimia dan penyelesaian tenaga hijau.
Petronas juga berbesar hati untuk menjayakan inisiatif tersebut, dengan menyediakan kepakaran daripada sudut sokongan teknikal, pertukaran maklumat dan konsultansi dalam bidang berkepentingan.
“Pada masa yang sama (Petronas) meneroka peluang untuk pelaksanaan bersama dalam projek pelaburan demi keuntungan kedua-dua pihak,” menurut kenyataan itu lagi.
Mirziyoyev, yang tiba di sini pada Selasa untuk lawatan sulungnya ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Disember 2016, akan membincangkan kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, kesalinghubungan dan pelancongan.
Lawatan ini sebagai membalas lawatan rasmi oleh Anwar ke Uzbekistan pada Mei tahun lepas.
Dalam pada itu, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menilai prospek pengwujudan zon industri Uzbekistan-Malaysia di negara itu, yang bakal memperkenalkan amalan dan kepakaran terbaik dalam pembangunan dan operasi kawasan perindustrian.
Langkah itu menurut mereka bakal menyuburkan kerjasama dalam menarik penyertaan syarikat pengurusan, pengurus kawasan, dan pelabur lain dalam perancangan dan pembangunan zon industri tersebut.
Baca juga: