PETALING JAYA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bakal melakukan lawatan kerja rasmi ke Malaysia pada minggu depan.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu seperti yang dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, lawatan itu dijadual berlangsung pada Selasa dengan Erdogan bakal diberi istiadat rasmi.

“InsyaAllah pada Selasa ini istiadat rasmi diadakan sempena kunjungan, lawatan kerja rasmi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan,” katanya dalam sidang media selepas berakhir Mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
Terdahulu, media melaporkan, pemulihan dan pembangunan semula Gaza merupakan antara perkara utama dijangka dibincangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Erdogan yang akan mengadakan lawatan ke negara ini.
Sementara itu, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dilapor berkata, hal ini kerana kedua-dua figura itu merupakan antara pemimpin yang lantang menyuarakan pandangan mewakili dunia Islam termasuk isu penindasan terhadap rakyat Palestin.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan, Anwar berkongsi dapatan yang diperoleh negara susulan daripada lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto; dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev.
Beliau berkata, lawatan itu bukan sahaja memperkukuh kerjasama ekonomi dengan Malaysia yang sudah terjalin sejak sekian lama, malah mengeratkan lagi hubungan di antara dua buah negara Islam itu.
“Bukan hanya sejumlah memorandum persefahaman telah ditandatangani dan disaksikan, ia mengeratkan lagi hubungan di antara negara-negara tersebut dengan Malaysia.
“Selain itu, ia juga membuka peluang perniagaan, pelaburan di antara kedua-dua negara,” ujarnya.